A. Harmoni
Prinsip rekaan dalam karya seni tampak seperti unsur-unsur harmoni boleh diwujudkan dalam karya lukisan yang bertemakan alam semula jadi.Harmoni dalam konteks seni visual dapat ditonjolkan apabila wujudnya susunan ataupun ulangan unsur-unsur seni yang sesuai, seimbang dan menarik.
Sebagai contohnya, keseragaman bentuk serta kepelbagaian saiz yang terdapat pada bahagian tubuh serta sayap seekor rama-rama akan menimbulkan kesan yang lebih harmoni, menarik serta seimbang. Penggunaan unsur-unsur harmoni dalam sesuatu hasil karya adalah bertujuan untuk menarik perhatian serta dapat menimbulkan nilai-nilai estetika.
Harmoni pada karya alam semula jadi:
Warna-warna pada daun yang seakan menampakkan persamaan dan warna boleh mewujudkan ton.Contohnya daun muda adalah lebih cerah berbanding dengan warna yang terbentuk pada daun-daun yang lebih tua.Melalui contoh lukisan di atas, penggunaan ton semasa mewarna daun akan dapat menimbulkan kesan keselesaan, keseragaman serta kesatuan pada objek yang dihasilkan.
B. Kontra
Dalam prinsip rekaan seperti kontra, ianya mudah dikesan serta diwujudkan apabila salah satu daripada unsur-unsur seni (Contohnya warna) mempunyai ciri-ciri yang menunjukkan pertentangan antara satu sama lain untuk memberikan kesan yang menarik pada sesuatu karya yang telah dihasilkan.Dalam erti kata lain, kontra adalah berkait rapat dengan prinsip rekaan seperti penegasan, iaitu lebih tinggi kadar kontra, maka lebih menyerlah penegasan dalam sesuatu karya seni yang dihasilkan.Kontra boleh wujud melalui perbezaan saiz, warna, bentuk, rupa, jalinan dan garisan.
Contoh karya di atas adalah merupakan cara penggunaan kontra dalam karya Catan.Kontra digunakan dengan tujuan untuk mewujudkan kesan pertentangan serta membangkitkan suasana.Oleh yang demikian, penggunaan unsur kontra dalam sesuatu karya secara kurang terancang akan menghasilkan suasana bercelaru serta nilai-nilai estetik yang kurang menyerlah.
C.Penegasan
Mengetahui Unsur Penegasan dalam Objek Alam Semula jadi.
Salah satu aspek terpenting dalam prinsip-prinsip rekaan seni adalah aspek penegasan.Penegasan dalam konteks Pendidikan Seni Visual adalah merupakan sesuatu yang boleh memberi tumpuan kepada pemerhatian tampak.Penegasan pada sesuatu objek pada alam semula jadi dapat berfungsi dengan sepenuhnya sekiranya objek tersebut dapat menarik perhatian seseorang apabila melihat atau memerhati objek tersebut.Penegasan sememangnya dapat menonjolkan sesuatu unsur atau objek dalam sesuatu hasil karya yang dapat menarik perhatian.
Melalui gambar foto yang disertakan di atas, jelas kelihatan bahawa unsur dan objek yang dapat memberi gambaran sebenar tentang prinsip penegasan melalui penghasilan warna garang ( warna merah ) yang terdapat pada objek bunga tumbuhan tersebut.Bunga yang sedia ada mempunyai warna yang kontra jika dibandingkan dengan daun, dan ini menunjukkan wujudnya unsur penegasan.Oleh yang demikian, dalam sesuatu hasil karya yang baik, penggunaan warna yang betul serta sesuai dapat memberi unsur penegasan terhadap objek yang dihasilkan di samping kedudukan objek yang diletakkan pada bahagian hadapan.
Seseorang pengkarya yang baik, langkah utama yang beliau harus fikirkan adalah memastikan adanya penggunaan prinsip-prinsip rekaan dalam sesuatu karya yang dihasilkan bukan sahaja prinsip penegasan, malah melibatkan prinsip-prinsip rekaan yang lain seperti keseimbangan, kontra, kepelbagaian dan sebagainya kerana aspek-aspek tersebut secara tidak langsung dapat membantu dalam penghasilan kerja seni yang baik serta bermutu.